PEMANDU untuk Uber, Lyft dan perkhidmatan perkongsian pemanduan AS yang lain menyaksikan pendapatan mereka jatuh separuh sejak kebelakangan tahun ini kerana lebih ramai orang mula menjadi pemandu perkhidmatan itu, kata kajian dikeluarkan semalam.
Laporan oleh gergasi perbankan AS, JPMorgan Chase berdasarkan deposit diterima bank memberi gambaran pahit realiti sebenar platform atau ekonomi “perkongsian” walaupun beberapa persoalan utama masih belum dapat dijawab.
Analisis menunjukkan “pekerja pengangkutan” menyaksikan pendapatan purata bulanan jatuh 53% antara 2013 dan 2017 daripada AS$1,500 kepada hanya AS$800.
Penyelidik juga berkata pendapatan jatuh kerana lebih ramai orang menjadi pemandu perkhidmatan itu, walaupun mengakui ramai antara mereka yang hanya bekerja sambilan.
Tetapi, penyelidik berpendapat hasil kajian mencadangkan ekonomi “perkongsian” yang membolehkan orang bekerja secara bebas tidaklah selumayan yang disangka.
“Tidak kisahlah sama ada kejatuhan pendapatan disebabkan kejatuhan upah atau jam bekerja atau kedua-duanya, ia menunjukkan pemanduan semakin mustahil jadi pekerjaan sepenuh masa sejak lima tahun lepas, kerana lebih ramai pemandu menyertai pasaran,” kata laporan itu.
Ahli ekonomi Uber Libby Mishkin menawarkan tafsiran berbeza, berkata ia menunjukkan lebih ramai orang seperti pelajar dan mereka yang mempunyai anak kecil memandu ikut kesesuaian masa mereka.
JPMorgan Chase dalam laporan itu berkata keseluruhannya “platform ekonomi” termasuklah perkhidmatan perkongsian rumah seperti Airbnb semakin meningkat.
Pendapatan daripada perkhidmatan “penyewaan” seperti Airbnb menurut laporan meningkat 69% daripada 2013.
Tetapi penyelidik berkata untuk kebanyakan orang, “pekerjaan” ini bukanlah pekerjaan sepenuh masa. – AFP, 25 September, 2018.
Komen