JABATAN Negara AS bersedia menjual kumpulan pertama kelengkapan tentera kepada Taiwan, kata pegawai semalam, hari sama tarif terbaru perdagangan diwujudkan Presiden Donald Trump kepada barangan import China berkuatkuasa.
Kontrak bernilai AS$330 juta itu akan menyaksikan AS antara lain membekalkan alat ganti beberapa pesawat termasuklah pesawat pejuang F-16 dan pesawat kargo C-130, kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
Kongres mempunyai masa 30 hari untuk membantah jualan itu walaupun ia tidak mungkin berlaku kerana Jabatan Negara sudah mengesahkan Taiwan terus “menjadi kuasa utama untuk kestabilan politik, ketenteraan dan ekonomi di rantau tersebut.”
Tarif terbaru diperkenalkan Trump kepada China adalah kepada barangan import China bernilai AS$200 bilion.
Langkah terbaru itu menyebabkan jumlah barangan China dikenakan tarif mencecah AS$250 bilion, lebih separuh eksport China ke AS.
AS baru-baru ini mengenakan sekatan kepada organisasi perolehan ketenteraan China, menimbulkan bantahan keras Beijing yang mengumumkan penangguhan rundingan ketenteraan yang dirancang.
Beijing dan Washington juga dalam kemelut dalam isu diplomatik Taiwan. – AFP, 25 September, 2018.
Komen