AS tawar AS$185 juta bantu Rohingya


Lebih 700,000 orang Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh daripada kekejaman tentera Myanmar. – Gambar EPA, 25 September, 2018.

AMERIKA Syarikat semalam berjanji memberi bantuan AS$185 juta untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh daripada keganasan tentera di Myanmar tahun lepas.

Duta AS Nikki Haley mengumumkan bantuan baharu untuk bekalan makanan, air, penjagaan kesihatan dan bantuan kritikal lain ketika mesyuarat peringkat menteri mengenai krisis Myanmar, selepas mesyuarat Perhimpunan Agung PBB di New York.

PBB, AS dan sekutu baratnya menuduh tentera Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap orang Islam Rohingya yang dinafikan hak kewarganegaraan di Myanmar.

Lebih 700,000 Rohingya kini jadi pelarian di Bangladesh, takut untuk pulang ke Myanmar yang majoriti Buddha walaupun wujud perjanjian pulang antara dua negara itu.

Ketua Tentera Myanmar Min Aung Hlaing dipetik berkata akhbar memberitahu tenteranya yang tidak ada negara, organisasi atau kumpulan “berhak masuk campur atau membuat keputusan tentang kedaulatan negaranya.”

Britain mempengerusikan mesyuarat berpuluh menteri luar yang juga dihadiri Kaunselor Myanmar Kyaw Tint Swe dan Menteri Kerjasama Antarabangsa Myanmar Kyaw Tin.

Menteri Luar Britain Jeremy Hunt yang baharu pulang daripada lawatan ke Myanmar memberi amaran yang pemimpin tentera perlu bertanggungjawab terhadap semua kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya, kata jurucakap Kementerian Luar.

“Jika dalam masa setahun kita tidak membuat langkah bermakna kepada kehidupan jutaan mereka yang terjejas, kita telah gagal sebagai masyarakat antarabangsa,” kata Hunt dalam mesyuarat tertutup itu menurut jurucakap. – AFP, 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen