KERAJAAN Itali bakal melaksanakan undang-undang anti pendatang untuk memudahkan pengusiran pendatang asing dan membatalkan kerakyatan mereka.
Rang undang-undang baharu itu merupakan langkah bagi memastikan keselamatan Itali terjamin, kata Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini.
Katanya, dikri itu akan membantu Itali memerangi kumpulan mafia dan sindiket penyeludupan manusia, mengurangkan kos tanggungan pendatang asing, mengusir pendatang haram, membatalkan kerakyatan individu yang terlibat dalam aktiviti pengganas dan memperkukuhkan bidang kuasa polis.
Parlimen mempunyai tempoh 60 hari untuk membahaskan rang undang-undang itu sebelum Presiden Sergio Mattarella meluluskannya untuk dikuatkuasakan.
Salvini berkata dikri itu turut memasukkan peraturan memproses permohonan pencari suaka politik, sekali gus mengikut jejak negara Kesatuan Eropah yang lain.
Perlindungan kemanusiaan hanya akan diberikan mengikut enam peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan Itali berbanding undang-undang antarabangsa.
Antaranya perlindungan hanya diberikan kepada keperluan kes perubatan yang serius atau pemohon merupakan mangsa bencana alam.
Salvini berkata hampir suku daripada pemohon suaka politik diberikan perlindungan kemanusiaan dengan status pemantauan.
Permohonan boleh digantung jika mereka dianggap berbahaya atau pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan. – AFP, 24 September, 2018.
Komen