Staf agensi PBB di Gaza lancar mogok


Seorang pelarian Palestin membawa seguni beras yang disalurkan oleh agensi PBB. – Gambar EPA, 24 September, 2018.

STAF agensi pelarian Palestin di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan mogok di Semenanjung Gaza hari ini selepas mereka kehilangan kerja akibat pemotongan dana daripada Amerika Syarikat (AS).

Mogok selama sehari itu menyebabkan lebih 250 sekolah di bawah jagaan PBB di Gaza ditutup, begitu juga dengan pusat perubatan dan pusat penyaluran bekalan makanan.

AS merupakan penyumbang terbesar bagi agensi tersebut dengan menyediakan dana kira-kira AS$350 juta setahun.

Namun Presiden Donald Trump memotong kesemua bantuan, sekali gus mencetuskan krisis menampung dana agensi itu.

Lebih 250 pekerjaan dimansuhkan setakat ini di Gaza dan Tebing Barat, sehingga menyebabkan ratusan pekerja tetap menjadi pekerja separuh masa.

Bantahan turut diadakan di luar ibu pejabat agensi itu di Gaza.

Kira-kira 13,000 orang bekerja dengan agensi itu di Gaza, dengan dua pertiga daripada dua juta penduduk diberikan bantuan. – AFP, 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen