Duta AS ke PBB nafi Trump sokong 'revolusi' di Iran


Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk melakukan satu rejim perubahan di Iran, kata Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Nikki Haley. – Gambar EPA, 24 September, 2018.

DUTA Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, berkata Washington tidak berhasrat menggulingkan kerajaan sekali gus menyangkal dakwaan yang dibuat oleh peguam peribadi Presiden Donald Trump, Rudy Giuliani, bahawa Amerika Syarikat (AS) menyokong satu ‘revolusi’ di Iran.

“Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk melakukan satu rejim perubahan di Iran,” lapor Associated Press of Pakistan (APP) memetik kenyataan Haley kepada CNN pada Ahad.

“Kami tidak berhasrat untuk melakukan satu perubahan rejim di mana-mana sahaja,” katanya. 

Giuliani, yang juga bekas datuk bandar New York, memaklumkan satu majlis anti-Iran pada Sabtu bahawa polisi Trump berkaitan tekanan ekonomi dan sekatan ke atas Tehran mungkin merangsang satu perubahan rejim.

“Saya tidak tahu bila kita akan menggulingkan mereka,” kata Giuliani.

“Ia mungkin dalam tempoh beberapa hari, bulan atau beberapa tahun. Tetapi ia pasti berlaku.”

Trump membawa AS keluar daripada perjanjian nuklear Iran 2015 pada Mei dan mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mengenakan semula sekatan ke atas Republik Islam itu, paling ketara langkah-langkah yang akan menyasar eksport minyak negara tersebut mulai 4 November.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo turut mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Giuliani dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad, memaklumkan NBC News bahawa Trump sedia bertemu Presiden Iran Hassan Rouhani semasa sesi Perhimpunan Agung PBB pada minggu ini.

“Jika terdapat dialog konstruktif yang perlu diadakan, mari kita lakukan,” kata beliau.

Para pemimpin Iran telah menjelaskan bahawa rundingan langsung dengan AS bukanlah satu pilihan jika Washington tidak menggugurkan semua polisinya yang bersikap bermusuhan dengan Iran. – Bernama, 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen