SEORANG remaja Indonesia ditemukan masih hidup walaupun tujuh minggu hanyut di laut selepas bot kecil yang dinaikinya dihanyutkan sejauh 2,500 kilometer dekat kepulauan Pasifik Guam.
Detik ngeri Aldi Novel Adilang bermula pada pertengahan Julai lalu apabila remaja berusia 18 tahun itu ditinggalkan secara bersendirian untuk menangkap ikan kira-kira 125 kilometer dari pulau Sulawesi.
Tugasnya hanya memastikan lampu bot itu sentiasa menyala untuk menarik perhatian ikan dan pemilik bot berkenaan akan datang seminggu sekali untuk menghantar makanan, bekalan air bersih dan minyak.
Bot yang dikenali sebagai rompong itu tidak mempunyai enjin atau pendayung dan dilabuhnya menggunakan tali yang panjang.
Namun disebabkan angin kuat, bot yang dinaiki Adilang dihanyutkan ke tengah laut.
Remaja itu yang hanya mempunyai bekalan untuk tempoh beberapa hari sahaja, berjaya bertahan dengan menangkap ikan, kata konsulat Indonesia di Osaka, Mirza Nurhidayat.
Katanya, Adilang turut menggunakan kayu bot bot sebagai bahan bakar selepas dia kehabisan gas untuk memasak.
“Dia juga meminum air yang diperah dari bajunya yang dibasahi air laut.”
Adilang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan tiba di rumahnya pada 8 September lalu dalam keadaan sihat. – AFP, 24 September, 2018.
Komen