PERDANA Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha akhirnya mengaku beliau berminat dalam politik, sekali gus menamatkan spekulasi oleh media selama beberapa bulan mengenai cita-cita politiknya ketika negara itu bersiap sedia bagi pilihan raya umum tahun depan.
Beliau menyatakan bahawa semangat cintakannya kepada negara adalah sebab beliau membuat keputusan untuk memasuki gelanggang politik.
“Ramai orang mahu saya memberi jawapan mengenai (masa depan saya) dalam politik, Saya boleh menjawab sekarang bahawa saya berminat dalam politik,” kata beliau kepada media di Bangunan Kerajaan di Bangkok hari ini dan menambah beliau akan memaklumkan kepada orang ramai tentang keputusan lain kemudian termasuk siapa yang akan disokongnya.
Prayut yang juga menerajui Majlis Keamanan dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO) berkata beliau akan mendengar pandangan dari parti politik, kumpulan politik dan ahli politik.
Beliau dijangka mengumumkan parti yang akan disertainya memandangkan banyak pihak di Thailand meramalkan bahawa beliau akan kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya tahun depan. – Bernama, 24 September, 2018.
Komen