SEKURANG-kurangnya 115 orang terbunuh manakala 383 lagi cedera dalam pertempuran yang berlanjutan selama sebulan antara puak-puak bertelagah di Tripoli, kata Kementerian Kesihatan Libya.
Pertempuran itu membabitkan Briged Ketujuh, atau Kaniyat, dari Tarhouna, sebuah pekan yang terletak 65 kilometer di tenggara Tripoli, dan Briged Revolusioner Tripoli (TRB) dan Nawasi, dua daripada kumpulan bersenjata terbesar di ibu kota.
Tripoli dan Libya Barat diperintah oleh sebuah kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan dibantu oleh beberapa kumpulan bersenjata manakala Libya Timur dikuasai sebuah pentabiran pesaing.
Negara itu telah berpecah-belah sejak Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011.
Kaniyat dan beberapa kumpulan lain dari luar Tripoli melancarkan satu serangan ke atas ibu kota pada lewat Ogos di tengah-tengah kegelisahan berhubung laporan mengenai kekayaan, kuasa dan gaya hidup mewah beberapa komander militia Tripoli. – Bernama, 24 September, 2018.
Komen