Lelaki bersenjata pisau ditahan ketika cuba ceroboh Menara Eiffel


Lelaki yang cuba menceroboh itu mengenakan baju-T pasukan bola sepak Paris Saint-Germain dan ketika kejadian menara berkenaan dilimpahi cahaya warna pasukan itu.– Gambar EPA, 6 Ogos, 2017.

SEORANG lelaki membawa pisau ditahan ketika cuba memasuki Menara Eiffel, kata syarikat yang menguruskan mercu tanda Paris itu pada Ahad.

Lelaki yang berkeseorangan itu, “bertindak sangat pantas dan ditahan” namun tiada yang tercedera dalam insiden itu, katanya dalam kenyataan.

Insiden itu berlaku ada 11.30 malam Sabtu (waktu tempatan), kira-kira setengah jam sebelum menara itu berhenti menerima pengunjung.

Selepas penahanan itu, polis menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian dan mengarahkan ia dikosongkan, 15 minit sebelum Menara Eiffel biasanya ditutup, tambah kenyataan itu.

Lelaki yang cuba menceroboh itu mengenakan baju-T pasukan bola sepak Paris Saint-Germain dan ketika kejadian menara berkenaan dilimpahi cahaya warna pasukan itu.

Skrin di bahagian bawah menara turut memaparkan mesej mengalu-alukan kedatangan bintang bola sepak Brazil, Neymar ke kelab itu.

Perancis diletakkan dalam keadaan darurat sejak serangan di sebuah restoran, tapak konsert dan stadium pada November 2015 yang menyebabkan 130 orang terbunuh.

Sejak serangan keganasan pertama pada Januari 2015, 239 orang dilaporkan terbunuh. – AFP, 6 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen