KETUA tentera Myanmar menyelar campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam hal kedaulatan negara itu.
Jeneral Min Aung Hlaing berkata demikian sebagai membalas gesaan PBB yang mahu siasatan dilancarkan ke atasnya dan kepimpinan tentera Myanmar kerana melakukan jenayah perang ke atas etnik Islam Rohingya.
“Tiada negara, pertubuhan atau kumpulan berhak untuk mencampuri dan membuat keputusan mengenai kedaulatan sesebuah negara,” katanya pada Ahad.
“Kenyataan yang mencampuri urusan hal dalam negara boleh menyebabkan salah faham,” katanya merujuk kepada laporan siasatan PBB ke atas operasi tentera Myanmar di Rakhine pada tahun lalu.
Siasatan PBB mendapati tentera Myanmar melakukan operasi pembersihan etnik ke atas penduduk Rohingya sehingga memaksa lebih 700,000 golongan minoriti itu menjadi pelarian di sempadan Bangladesh.
Pihak tentera Myanmar didakwa melakukan pembunuhan, merogol dan menyeksa penduduk Rohingya dalam operasi tersebut.
Namun kesemua dakwaan itu dinafikan oleh pihak tentera dan pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi. – AFP, 24 September, 2018.
Komen