Pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan ditubuhkan adalah amat penting dan diperlukan.
Baru-baru ini pada 12 September 2018 di Melaka, Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa pihak polis telah tersalah tembak Loh Kim Hiong pada 2014. Beliau telah ditembak mati ketika dikepung oleh 9 orang anggota polis di Machap, Melaka, kerana dituduh cuba untuk menyerang polis dengan pisau. Berdasarkan kenyataan saksi pula, beliau telah menyerahkan diri, tetapi masih ditembak.
Isu salah tembak mati sebegini bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia. Selama bertahun-tahun, NGO-NGO dan parti-parti politik telah mendokumentasikan dan membangkitkan isu kematian dalam tahanan, penyeksaan oleh polis, korupsi, dan penyalahgunaan kuasa dan senjata api.
Sesetengah case menerima publisiti secara meluas, manakan sesetengah kes seperti kes Loh Kim Hiong, berlalu tanpa pengetahuan awam. Isu-isu ini bukan sesuatu perkara terpencil kerana amat berleluasa dan berlaku secara sistematik.
Laporan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) pada 2016 membangkitkan bahawa terdapat 255 kes kematian dalam tahanan dari tahun 2000 hingga 2014, tetapi hanya dua kes yang dikatakan berpunca daripada tindakan polis. SUHAKAM juga melaporkan bahawa penyeksaan dan keganasan oleh polis berlaku secara meluas, berdasarkan temu ramah dengan para tahanan.
Oleh itu, penubuhan IPCMC adalah suatu political reform yang amat penting untuk Malaysia Baharu. Penubuhannya akan meningkatkan akauntabiliti, semak dan imbang, dan akses kepada keadilan dalam kes-kes penyalahgunaan kuasa oleh polis.
IPCMC tidak harus dilihat sebagai suatu serangan atau ketidakpercayaan terhadap pihak polis, tetapi sebaliknya IPCMC merupakan suatu mekanisma untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap polis, dan untuk mengurangkan penyalahgunaan kuasa.
Pada tahun 2005, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan PDRM, yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu, telah mengesyorkan supaya IPCMC ditubuhkan, tetapi kerajaan Barisan Nasional yang lalu telah gagal dan enggan melaksanakannya.
Sekarang, dalam masa kurang daripada 6 bulan, Kerajaan Pakatan Harapan telah sekali lagi menunjukkan daya politiknya untuk mereformasikan institusi-institusi dengan menubuhkan IPCMC.
Walaubagaimanapun, butiran-butiran dan mekanisme pelaksanaan IPCMC masih belum dimuktamadkan. Dalam hal ini, semua pihak – termasuk ahli-ahli Parlimen, anggota Kabinet, masyarakat sivil, pihak polis, dan rakyat – mesti memastikan IPCMC ditubuhkan secara betul dan berkesan.
Jika tidak, kita akan mendapat sebuah lagi badan yang tidak berkesan, seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang hanya berkuasa untuk membuat cadangan.
Sebagai langkah pertama, kerajaan harus memastikan supaya butir-butir IPCMC dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen, sama ada di peringkat Dewan Rakyat atau melalui jawatankuasa. Pendapat dan cadangan oleh pakar-pakar, NGO, dan pihak-pihak berkepentingan yang lain mesti dipertimbangkan.
Secara dasarnya, IPCMC yang bakal ditubuhkan mestilah dianggotai oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya yang bebas, mendapat kepercayaan awam, dan tidak mempunyai konflik kepentingan untuk memelihara kepentingan pihak polis atau kerajaan.
Mereka juga harus diberi kuasa untuk menerima dan menyiasat aduan secara bebas, dan membuat syor-syor dan tindakan yang terikat (binding).
* Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen