Ancaman MCA  terhadap UMNO ‘tidak realistik’, kata PAS


Desmond Davidson

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengatakan MCA takut dengan bayang-bayangnya sendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

PAS berkata ancaman presiden MCA Liow Tiong Lai yang mahu Barisan Nasional dibubarkan atau Umno keluar daripada muafakat politik itu jika Umno bekerjasama dengan parti Islamis adalah “tidak realistik” dan MCA “takut dengan bayang-bayangnya sendiri.”

“Jangan kerana bimbang kehilangan sokongan orang Cina kepada DAP, MCA beralih kepada PAS yang kononnya tidak mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak mementingkan keharmonian kaum di negara ini.” Kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam sebuah kenyataan hari ini sebagai respon kepada ancaman Liow semalam terhadap Umno jika parti itu menuju ke arah politik teokrasi.

Liow yang berucap di Konvensyen MCA Selangor 2018 turut berkata BN harus meraikan kepelbagaian budaya dan terus manjaga keharmonian kaum di dalam negara.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata MCA hanya ada dua pilihan, bubarkan BN atau mengeluarkan Umno dari muafakat politik itu.

Takiyuddin berkata PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk MCA demi kebaikan negara.

Beliau memberi contoh PRK Balakong yang ditandingi MCA tempohari di bawah bendera BN.

“Walaupun MCA seolah-olah menafikan kerjasama dengan PAS semasa PRK Balakong baru-baru ini, mereka perlu sedar PAS bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO atas dasar solidariti pembangkang, tapi juga dengan MIC dan beberapa parti serta individu lain lagi,” kata Takiyuddin.

Beliau berkata MCA harus memegang sikap terbuka dan matang dalam berpolitik daripada hanya sekadar memberi ancaman atau menyalahkan orang lain ekoran hasil pilihanraya yang buruk. – 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen