AHLI akar umbi mengadu Ahmad Zahid Hamidi lebih mementingkan soal masa depan peribadi berbanding masa depan parti, kata veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata ahli mengadu demikian kerana presiden parti itu berusaha dengan pihak tertentu untuk Umno kembali berkuasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Apa yang saya dengar mereka kata Zahid ini banyak kepentingan diri.
“Jadi (Zahid) tidak memikir kepentingan parti kepada keseluruhannya ataupun kepada masyarakat Melayu,” kata bekas menteri itu ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menolak mentah-mentah usaha yang digerakkan untuk Umno “merangkak” kepada PAS bagi mendapatkan bantuan.
Beliau berkata langkah itu tidak munasabah kerana Umno menguasai jumlah kerusi Parlimen lebih besar berbanding PAS.
Zahid ketika menghadiri Muktamar Tahunan PAS hujung minggu lalu mempertahankan kerjasama berkenaan sebagai usaha menghadapi landskap politik negara yang memerlukan pembangkang bersatu.
Setiausaha agung parti Annuar Musa malah berkata Umno bukan hanya melihat kepada kerjasama dengan PAS, tetapi juga dengan Bersatu, PKR dan DAP, jika diberi peluang.
Ahli Parlimen Ketereh itu dalam wawancara bulan lalu membayangkan jika semuanya berjalan lancar, Umno akan kembali berkuasa dalam tempoh dua tahun lagi.

Mengulas lanjut perkara itu, Tengku Razaleigh berkata Zahid seharusnya berusaha mencari jalan memperkukuhkan parti kerana ahli akar umbi masih tertanya-tanya apakah hala tuju Umno ketika ini.
“Orang sekarang ini menyoal apakah Zahid nak jadi pemimpin Umno untuk bawa orang Melayu bersama dengan penyokong lain ke arah lebih baik, lebih maju daripada dulu, baiki segala kelemahan yang ada pada Umno. Itu persoalannya.
“Sebab itu ramai menzahirkan rasa kekecewaan terhadap Zahid kerana situasi ini, bukan nak kata beliau tak tunjuk sikap atau berdiam diri tapi lebih kepada mencari lubang untuk dirinya dan rakan-rakannya bukan untuk Umno.
“Saya pula yang resah bagaimana hendak kukuhkan semula Umno agar diyakini rakyat seperti dulu,” katanya.
Parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional itu kalah pilihan raya umum 9 Mei dan hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi dalam PRU13.
Sejak itu, lima ahli Parlimen Umno keluar parti, terbaru melibatkan dua bekas menteri kanan Mustapa Mohamed (Jeli) dan Anifah Aman (Kimanis). – 24 September, 2018.
Komen