KETUA pembangkang Ibrahim Mohamed Solih memenangi pilihan raya presiden Maldives, satu keputusan yang mengejutkan apabila menewaskan presiden Abdulla Yameen.
Keputusan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya awal hari ini menunjukkan Solih memperoleh 58.3% undi popular.
Kemenangan itu diraikan di seluruh wilayah tropika itu dengan penyokong pembangkang membawa bendera kuning Parti Demokratik Maldives (MDP) dan menari di jalanan. Setakat ini tiada respons dikeluarkan oleh Abdulla.
Ibrahim mendapat sokongan gabungan pembangkang yang cuba menggulingkan Abdulla tetapi berdepan halangan mendapatkan calon, dengan media tempatan bimbang dikenakan sekatan dalam membuat laporan.
Calon lain juga tidak ada pada hari membuang undi Ahad lalu dengan semua pemimpin utama yang berbeza pendapat dengan kerajaan Abdulla, sama ada di dalam penjara atau dalam pelarian.
Terdahulu malam tadi, Ibrahim menggesa Abdulla mengaku kalah sebaik saja keputusan awal menunjukkan beliau mendahului penyandang presiden itu.
“Saya menggesa Abdulla untuk menghormati kehendak rakyat dan melakukan peralihan kuasa dengan aman dan licin,” katanya menerusi televisyen.
Beliau juga menggesa Abdulla melepaskan tahanan politik serta-merta.
Abdulla, yang pada mulanya percaya akan kekal berkuasa, memenjarakan atau memaksa kebanyakan lawan utamanya melarikan diri. – AFP, 24 September, 2018.
Komen