SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson berusaha memberi tekanan kepada Korea Utara selepas memperoleh sekatan baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa perbincangan diplomasi peringkat tinggi selama dua hari pada Ahad.
Tillerson berada di Manila bagi menghadiri mesyuarat blok serantau 10 negara Asean, tetapi memberi tumpuan rundingan dengan rakan saingan kuasa besar Washington, Rusia dan China.
Ia juga buat kali pertama akan berada di bilik yang sama dengan Menteri Luar Korea Utara Ri Hong-Yo, yang menentang percubaan AS untuk mengasingkan Pyongyang daripada menghadiri forum serantau Asean.
Menjelang perjumpaan Ahad, Tillerson melawat Perkuburan dan Memorial Manila Amerika bagi memberi penghormatan kepada lebih 17,000 anggota tentera yang terkorban semasa Perang Dunia II.
Selepas itu, beliau dan penolong kanannya akan berbincang dengan menteri luar Myanmar, Kyaw Tin, dan menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-Wha.
Tillerson memberitahu wartawan beliau dan Kang akan membincangkan langkah seterusnya terhadap Korea Utara tetapi tidak menjelaskannya dengan lebih terperinci dan berkata undi sekatan adalah keputusan yang baik.
Kang turut mencelah, “Ia adalah hasil yang sangat baik.”
Tillerson juga dijangka bertemu Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dan Wang Yi dari China - kedua-duanya membantah pelancaran nuklear Korea Utara.
Jabatan Negara AS sebelum ini menolak sebarang rundingan langsung dengan menteri Korea Utara semasa Tillerson di Manila.
Bagaimanapun, beberapa jam sebelum mesyuarat bermula, Majlis Keselamatan PBB mengundi sebulat suara menyokong resolusi yang digubal AS untuk mengetatkan sekatan sedia ada terhadap Korea Utara.
Ia dianggap kemenangan bagi usaha AS untuk memaksa Korea Utara menghentikan pembangunan peluru berpandu nuklear yang boleh mengancam bandar di AS dan menerima tekanan daripada Tillerson sebelum pertemuan di Manila. – 6 Ogos, 2017.
Komen