Wilayah kedua Switzerland laksana larangan burqa di tempat umum


Hampir 67% undi menyokong usaha larangan burqa di wilayah kedua Switzerland, St Gallen. – Gambar EPA, 23 September, 2018.

WILAYAH kedua di Switzerland akan menguatkuasakan larangan burqa serantau selepas pengundi di St. Gallen memilih untuk melarang pemakaian pakaian itu di khalayak umum.

Hampir 67% undi menyokong usaha larangan burqa berdasarkan keputusan rasmi walaupun jumlah pengundi yang keluar hanya 36% pada sesi pungutan suara itu.

Keputusan itu memberi laluan kepada wilayah tersebut untuk mengikut jejak wilayah selatan Ticino yang menyaksikan larangan sama dikuatkuasakan pada dua tahun lalu.

Tiga lagi wilayah iaitu Zurich, Solothurn dan Glarus menolak larangan itu sejak beberapa tahun lalu.

Berdasarkan undang-undang itu, individu yang didapati memakai penutup muka atau burqa di khalayak ramai, dan membahayakan keselamatan awam atau sosial dan keamanan agama akan didenda.

Undang-undang itu diluluskan pada tahun lalu dengan sokongan parti berhaluan tengah dan kanan tetapi mendapat tentangan dari parti Hijau dan Liberal Hijau yang mahu pungutan suara diadakan. – AFP, 23 September, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen