Ketua bahagian keliru hala tuju parti, desak Zahid bertindak


SM Amin

SELURUH pemimpin bahagian Umno seluruh negara mahu presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan yang drastik untuk menentukan hala tuju parti, kata seorang ketua bahagian.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata perkara itu ditegaskan dalam dialog ketua-ketua Bahagian Umno bersama presiden di ibu pejabat parti hari ini.

Katanya, pemimpin akar umbi risau kerana melihat masa depan parti tidak menentu selepas Barisan Nasional kalah pilihan raya umum 9 Mei.

Dalam pertemuan itu, Zahid ada menjelaskan hala tuju parti tetapi pimpinan Umno Bahagian mahu tindakan segera dilakukan, katanya.

“Penjelasan daripada presiden parti tentang hala tuju Umno itu sendiri dan kebimbangan kami ketua bahagian melalui rungutan dan kebimbangan akar umbi telah kami sampaikan kepada presiden. 

“Kami harap supaya presiden mengambil langkah drastik untuk mengembalikan semangat ahli-ahli Umno supaya ahli Umno ini tidak meninggalkan Umno dan pergi ke parti yang lain.

“Jadi ini yang kami desak presiden supaya presiden lakukan sesuatu,” katanya ketika ditemui media selepas dialog tersebut.

Jamal Md Yunos mahu tindakan yang drastik diambil oleh presiden parti untuk menentukan hala tuju parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

Menurut Jamal, Zahid memberikan komitmen untuk mengambil langkah segera dan mereka akan menunggu perkara itu dinyatakan presiden dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan ini.

“Dan janji presiden kepada kami, beliau akan melakukan sesuatu selepas ini, mungkin hujung bulan ini ketika PAU. Kami memahami sekarang ini kerana Umno merupakan parti pembangkang,” katanya.

Seramai 128 ketua bahagian Umno hadir dalam dialog bersama presiden pada hari ini. Zahid dijadualkan akan menemui barisan ketua bahagian Umno negeri Sabah esok untuk program yang sama.

Sementara itu, seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) yang enggan dinamakan memaklumkan banyak perkara yang dibangkit ketua bahagian Umno telah pun mendapat pertimbangan di peringkat jawatankuasa mereka.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sesi dialog bersama ketua-ketua Bahagian Umno di ibu pejabat parti hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

Menurut sumber itu, antara yang sedang dipertimbangkan adalah tindakan terhadap wakil rakyat Umno yang keluar parti.

Bagaimanapun sumber tidak menjelas bagaimanakah bentuk tindakan yang akan diambil kerana mereka bukan lagi ahli parti.

Parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional itu kalah pilihan raya umum 9 Mei dan hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi dalam PRU13. 

Sejak itu, lima ahli Parlimen Umno keluar parti, terbaru melibatkan dua bekas menteri kanan Mustapa Mohamed (Jeli) dan Anifah Aman (Kimanis). – 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen