India lancar skim kesihatan terbesar di dunia


Perdana Menteri India Narendra Modi melancarkan skim kesihatan terbesar dunia untuk memberi manfaat kepada lebih 500 juta rakyat miskin. – Gambar EPA, 23 September, 2018.

INDIA hari ini melancarkan skim insuran kesihatan terbesar di dunia yang bakal memberi manfaat kepada lebih 500 juta penduduk miskin di negara itu, kata Perdana Menteri Narendra Modi.

Program itu dikenali sebagai Modicare, menjanjikan perlindungan kesihatan bernilai 500,000 rupee (RM28,000) bagi setiap keluarga miskin untuk merawat penyakit serius.

Skim itu dijangka menelan kos sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.4 bilion) setahun dan pembiayaan akan meningkat secara berperingkat berdasarkan permintaan.

Modi menyifatkan skim kesihatan itu sebagai langkah yang besar untuk menyediakan kualiti kesihatan yang lebih baik kepada golongan miskin dengan melibatkan lebih 100 juta keluarga.

Sistem kesihatan awam Indian terbeban dengan masalah kekurangan hospital dan doktor menyebabkan ramai rakyatnya menggunakan hospital atau klinik swasta bagi yang berkemampuan.

Namun kos rawatan swasta menelan belanja sebanyak 1,000 rupee (RM60), jumlah yang besar bagi jutaan penduduk yang berpendapatan kurang RM8 sehari.

Lebih 60 peratus perbelanjaan keluarga berpendapatan sederhana digunakan untuk perubatan dan kesihatan diri, lapor kerajaan. – AFP, 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen