Presiden Iran tuduh kumpulan pemisah Arab sebagai dalang serangan


Seorang anggota tentera mengangkat kanak-kanak yang cedera akibat serangan di majlis perarakan tentera di bandar Ahvaz, barat daya Iran. – Gambar AFP, 23 September, 2018.

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani hari ini menyalahkan kumpulan pemisah Arab atas serangan berdarah pada majlis perarakan tentera di barat daya negara ini yang mengorbankan 29 nyawa.

“Amat jelas buat kami untuk mengetahui siapa dalang dalam kejadian ini, kumpulan dan sekutu mereka,” kata Rouhani.

“Mereka yang mencetuskan kekacauan ini merupakan pengikut Saddam ,” katanya merujuk kepada bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein.

“Satu daripada negara di selatan Teluk Parsi membiayai kumpulan ini termasuk menyalurkan senjata dan kewangan.

“Semua kumpulan kecil ini disokong oleh Amerika Syarikat,” katanya.

Empat militan menyerang majlis perarakan tentera yang diadakan sempena memperingati perang Iran-Iraq pada 1980-88 di bandar Ahvas.

Saksi kejadian berkata penyerang berpakaian ala tentera Iran sebelum melepaskan tembakan rambang menggunakan senjata yang disembunyikan di kawasan taman berhampiran.

Militan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Namun kerajaan Iraq menuduh pergerakan pemisah Arab yang dikenali sebagai kumpulan Al-Ahwazi sebagai suspek utama. – AFP, 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen