PIHAK berkuasa Australia membunuh dua jerung, selepas dua mangsa diserang ketika berada di kawasan terumbu karang besar yang menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong.
Kedua-dua mangsa, termasuk remaja 12 tahun, masih dirawat di hospital selepas haiwan itu membaham mereka dalam dua kejadian berasingan di Kepulauan Whitsunday pada awal minggu ini.
Jurucakap Jabatan Perikanan Queensland berkata alat khas digunakan untuk menangkap jerung berkenaan, dengan salah satunya sepanjang 3.3 meter.
“Jerung sebesar itu memang amat berbahaya kepada manusia, namun tidak diketahui sama ada mereka yang menyerang dan mengakibatkan kecederaan dua mangsa, baru-baru ini.
“Bangkai jerung itu akan dibawa ke darat untuk dimusnahkan,” katanya.
Beliau berkata alat khas akan diletakkan di kawasan terbabit hingga minggu depan, bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada pengunjung.
Stesen penyiaran ABC berkata insiden serangan jerung jarang berlaku di Kepulauan Whitsundays di tengah-tengah kawasan terumbu karang besar berkenaan, dan kali terakhir ia dilaporkan berlaku kira-kira lapan tahun lalu. – AFP, 23 September, 2018.
Komen