Syarikat China terus tinjau peluang pelaburan di Malaysia


CHINA Communications Construction Company (CCCC) banyak melabur di luar negara terutamanya di negara-negara Afrika.– Gambar EPA, 23 September, 2018.

CHINA Communications Construction Company (CCCC) kini dalam proses transformasi daripada kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada pelabur, pemaju dan penyedia perkhidmatan operasi, kata Naib Presidennya, Sun Ziyu.

“Kami sentiasa aktif meninjau peluang pelaburan untuk membantu membangunkan Malaysia, termasuk meninjau pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Malah, kami juga berhasrat untuk melabur dalam industri sasaran di sepanjang ECRL selain menerajui pelaburan dari China dan negara-negara lain,” katanya kepada delegasi media Malaysia yang diketuai oleh wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur, di ibu pejabat kumpulan CCCC di sini pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Sun berkata selain pembangunan infrastruktur, CCCC juga berharap dapat menyertai bidang lain seperti pembangunan hartanah dan pembangunan bandar.

Ini berikutan peranan penting aspek pembangunan infrastruktur dalam ekonomi sesebuah negara selain menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, penglibatan CCCC dalam projek mega di Malaysia misalnya memberi tumpuan khusus kepada kehidupan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa projek-projek infrastruktur mega yang melibatkan kontraktor asing merupakan kekangan utama kepada penduduk dan perniagaan tempatan.

Sebagai contoh, katanya, pembabitan CCCC dalan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur yang akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas manakala projek di Pelabuhan Klang dan Kuantan pula akan menyuntik pertumbuhan pembangunan kawasan itu.

“Bagi ECRL misalnya, 50 peratus daripada tenaga kerja kami merupakan penduduk tempatan dan angka itu boleh mencecah sehingga 70 peratus. Selain beberapa juruteknik khas yang dibawa dari China, semua petugas lain adalah penduduk tempatan.

“Kami  juga telah melancarkan Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) dan merancang untuk melatih dan menghasilkan seramai 3,600 pakar rel. Setakat ini, kami telah mengambil khidmat  dan melatih 447 siswazah tempatan,” katanya.

Sun berkata CCCC juga komited untuk menumpukan aspek tempatan sebanyak mungkin dalam usaha mengurangkan masa penghantaran dan kos dan menyifatkan langkah pemberian subkontrak tempatan juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusannya.

“Setakat ini, seramai 500 pembekal, 157 subkontraktor dan 91 perunding tempatan bertugas dengan  CCCC. Kami hanya menimbang pembelian (bahan keperluan) dari negara lain apabila tiada bahan atau peralatan terbabit di pasaran tempatan seperti mesin pengorek terowong (TBM).

“Pada masa sama, kami turut memberi tugasan subkontrak kerja utama kepada syarikat tempatan. (Oleh itu) projek mega CCCC di Malaysia dapat memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan bakat tempatan, memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber tempatan selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga akan kekal sebagai pasaran pilihan bagi perniagaan luar CCCC dan komitmennya untuk pembangunan kerjasama dengan syarikat Malaysia tetap tidak berubah walaupun berdepan krisis kewangan dan ketidaktentuan perdagangan, sebelum ini.

“Kami menubuhkan Pusat Pengurusan Serantau Asia Tenggara CCCC di Kuala Lumpur yang mengawasi kerja pemasaran dan pengurusan syarikat ini bagi rantau Asia Tenggara.

“Setakat ini, kami mempunyai lebih 20 projek yang dilaksanakan di Malaysia dan sedang berjalan lancar,” katanya.– Bernama, 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen