Kes rogol penyanyi Maghribi cetus debat


Penyanyi terkenal Maghribi mempunyai hubungan rapat dengan King Mohammed VI.– Gambar Facebookt, 23 September, 2018.

WALAUPUN menghadapi tiga tuduhan rogol di Perancis, penyanyi Maghribi Saad Lamjarred masih diminati di negara asalnya.

Bagaimanapun, penahanan terbaru penyanyi itu mencetuskan debat mengenai keganasan terhadap wanita di negara Afrika Utara itu.

Ekoran tuduhan serupa pada Oktober 2016 dan April 2017, Lamjarred ditahan sekali lagi di selatan Perancis atas tuduhan rogol seorang wanita di hotel Riviera.

Bintang itu ditahan ketika Maghribi digemparkan dengan dakwaan seorang gadis Khadija Okkarou bahawa beliau diculik dan dirogol secara berkumpulan oleh beberapa orang lelaki dari kampungnya.

Penahanan Lamjarred telah mencetus kempen di media sosial bagi melarang lagu-lagu beliau diputarkan di negara itu dengan menggunakan tandapagar #masaktach (“kami tidak akan diam”) dan #LamjarredOut

Bagaimanapun, kempen itu ditenggelamkan populariti penyanyi berusia 33 tahun itu yang memiliki 660 juta tontonan bagi lagu “Lmaallem” di YouTube.

“Kes Saad Lamjarred adalah simbol mengenai semua perkara berkaitan budaya cabul dan rogol,”kata Laila Slassi, pengasas kempen itu.

Walaupun menghadapi tuduhan itu, lagu-lagu penyanyi tersebut masih diputarkan di stesen radio dan media Maghribi.

Ogos lalu, beliau turut menyumbang dalam video lagu kerjasama beberapa orang artis sempena hari keputeraan Raja Mohammed VI yang membantu menyelesaikan pembiayaan undang-undang bagi kes penyanyi itu.

Peminat Lamjarred kekal yakin penyanyi yang berasal daripada keluarga seni di Rabat itu adalah sasaran konspirasi mangsa-mangsa tertuduh bagi mendapatkan manfaat kemasyhuran penyanyi itu.– AFP, 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen