PENYANYI Punjabi dan bintang sensasi Bollywood Guru Randhawa meramalkan pasaran akan berkembang di Malaysia bagi sektor muzik bebas berikutan jumlah penggemar serta peminat yang begitu besar di negara ini.
Sungguhpun ini merupakan kunjungan sulung penulis lagu popular dari India ke Malaysia untuk mengadakan persembahan secara langsung, beliau berkata respons daripada peminat di sini amat memberangsangkan dengan semua tiket habis dijual, dan peminat di Malaysia memberi sokongan padu kepada semua album muziknya.
“Selesai sahaja persembahan secara langsung ini, saya bercadang untuk datang kembali ke Malaysia tetapi mungkin di negeri lain pula. Saya sayangkan rakyat Malaysia,” katanya dalam wawancara eksklusif sebelum mengadakan persembahan di KL Live di Life Centre di sini baru-baru ini.
Guru, yang juga dikenali sebagai ‘High Rated Gabru’ dengan meraih 345 juta tontonan di Youtube, menghiburkan kira-kira 2,000 peminat di Malaysia pada Jumaat lepas setelah menamatkan siri jelajah ‘High Rated Gabru UK Tour’ 2018 ke United Kingdom dan India, meliputi sembilan buah bandar raya termasuk Indore serta Mumbai.
Lagu hit beliau termasuk Ban Ja Rani, Fashion, Patola dan Ishere Tere, meraih 62 juta tontonan di Youtube, selain ‘Lahore’ yang ditempatkan dalam Billboard Top 25 awal tahun ini dan masih mengungguli carta Made in India dalam carta di seluruh dunia.
Mengulas lanjut tentang masa depan sebagai penyanyi bebas, beliau berkata pasaran di India sangat baik, setara dengan industri Bollywood, atau malah lebih besar lagi berikutan sokongan yang diterima daripada Bollywood dan promoter Youtube.
“Terima kasih juga kepada penonton kerana turut menjayakannya. Pastikan kamu semua dengar muzik yang bagus dan beri sokongan,” katanya.
Ditanya tentang khabar angin kononnya beliau akan menceburi bidang lakonan, Guru berkata lakonan bukanlah bidang yang diminatinya kerana beliau lebih suka menyanyi, menulis dan menggubah lagu berbanding berlakon dalam filem Bollywood.
“Saya menerima begitu banyak panggilan dengan tawaran berlakon tetapi saya rasa saya tidak dapat berlakon sebab saya suka menyanyi dan saya sayangkan penonton saya… saya tidak mahu mengecewakan mereka. Setakat ini, saya rasa menyanyi, menggubah lagu dan menghasilkan video adalah perkara yang saya gemar lakukan,” jelas beliau.
Pada masa ini, beliau mengusahakan kerjasama muzik daripada pelbagai bahasa termasuk Afrika, sebagai langkah untuk menyatupadukan budaya dan kepelbagaian, di samping menghasilkan lagu bagi filem Bollywood.– Bernama, 23 September, 2018.
Komen