TENTERA Syria merampas kubu terakhir Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) di daerah Homs sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk menggempur saki baki militan di timur negara itu semalam, kata badan pemerhati.
Al-Sukhna, hampir 70 kilometer di timur laut bandar Palmyra ialah bandar terakhir dalam laluan ke bandar Dier Ezzor yang ditakluk IS sejak awal 2015.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, sebuah badan pemerhati berpangkalan di Britain mengatakan tentera kerajaan berjaya merampas bandar itu selepas serangan besar-besaran udara dan darat bersama dengan tentera Rusia yang merupakan sekutu kuat Syria.
Kerajaan masih tidak mengeluarkan pengesahan rasmi.
Agensi berita negara, Sana, memberitahu yang tentera mengepung bandar itu dari tiga penjuru.
Sejak Mei lalu, tentera Syria melaksanakan kempen ketenteraan bersama Rusia untuk menakluk kembali kawasan padang pasir yang luas memisahkan ibu kota Damsyik dengan Deiz Ezzor dan bandar lain di Lembah Euphrates.
IS juga kini mengalami kekalahan teruk di kubu kuat mereka di Mosul, Iraq.
Pasukan Keselamatan Syria yang disokong Amerika Syarikat kini mengawal lebih separuh daripada kubu kuat IS di Raqa. – AFP, 6 Ogos, 2017.
Komen