SIAPA sangka denim daripada jeans terbuang boleh menjadi rekaan beg anggun dan memberi pendapatan tetap kepada sekumpulan ibu tunggal.
Segalanya dicetuskan oleh Salena Ahmad, 50, yang nekad mengusahakan produk tersebut sejak 2014 selepas diceraikan suaminya, demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Walaupun dilanda tekanan, tetapi sebagai seorang ibu tunggal, beliau mahu dipandang sebagai contoh kepada anak-anaknya.
“Anak sumber kekuatan, tengok anak kekuatan datang dengan sendirinya. Kalau kita (ibu tunggal) berubah, nasib anak juga berubah,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di pusat operasi perniagaannya, Klang.
Beliau menubuhkan sebuah syarikat, Suri Inspirasi Sdn Bhd, sebuah perusahaan sosial berkonsepkan hijau iaitu mencipta beg buatan tangan daripada bahan terbuang tersebut.
Bermula dengan modal sebanyak RM5,000 bersama beberapa kawan yang juga ibu tunggal, kini syarikat yang berusia dua tahun itu mampu menjana keuntungan sebanyak RM15,000 hingga RM20,000.
Walaupun pada awalnya beliau tidak tahu langsung cara menjahit, beliau mengambil inisiatif mempelajarinya sendiri melalui laman video Youtube.
“Saya belajar (menjahit) sendiri. Beli mesin jahitan dengan berhutang, bayar secara bulanan.
“Setiap hari selama empat bulan saya buka Youtube, belajar sendiri (menjahit) daripada kosong sampai boleh jahit,” katanya yang mempunyai dua anak masing-masing berusia 22 tahun dan empat tahun.
Apabila mahir menjahit, beliau mengajar kemahiran itu kepada beberapa ibu tunggal lain secara percuma selama empat bulan, dan seterusnya menubuhkan syarikat.

Pelbagai rekaan beg tersebut dipasarkan dengan jenama 2ndchance.my yang memberi maksud signifikan kepada Sally dan golongan ibu tunggal tersebut.
“Nama 2ndchance digunakan kerana mempunyai kaitan dengan diri saya. (Ini) peluang kedua kepada saya dan juga ibu tunggal lain dan memberi kehidupan baharu kepada seluar jean terpakai,” katanya.
Sally berkata 20 kakitangan yang terdiri daripada ibu tunggal itu menerima gaji antara RM800 hingga RM1,000 setiap bulan bergantung kepada kehadiran.
“Mereka berpeluang untuk jana pendapatan lebih jika mampu memberi latihan jahitan kepada orang lain,” katanya.
Selain menguruskan perniagaan, Sally juga mencari idea baharu untuk membuat rekaan beg yang dicipta oleh syarikatnya.
Salah seorang kakitangannya, Fadzilah Ahmad, 57, yang turut mengasaskan perniagaan itu berkata, anak-anaknya juga merupakan sumber kekuatan untuk meneruskan
“Selepas (suami) meninggal tujuh tahun lepas, saya pernah tidak makan nasi berhari-hari sebab utamakan anak. Apa-apa pun saya lebihkan kepada anak. Kuat pun kerana anak.
“Ibu-ibu (tunggal) yang ada di luar sana, jangan menangis. Kuatkan semangat untuk anak, kalau kita lemah anak pun akan lemah,” katanya.
Hasil pendapatan daripada menjahit produk 2ndchance.my, beliau mampu menyara enam anak dan kini mereka sudah pun dewasa dan berjaya dengan karier masing-masing.
Semua proses mengumpul kain, membersihkan dan menjahit kain denim dilakukan di rumah Sally sendiri bagi menjimatkan kos menyewa premis.
Ibu tunggal yang ingin menjalani latihan jahitan bersama mereka juga tidak perlu membayar apa-apa kerana mendapat bantuan daripada agensi kerajaan.
Pihaknya mendapat sumbangan mesin jahit daripada Yayasan Inovasi Malaysia dan Pusat Inovasi Kreativiti Global Malaysia. Kain denim terpakai pula diperoleh daripada sumbangan orang ramai dan beberapa badan korporat.
Selain fokus terhadap beg buatan tangan, Sally mempunyai pelan untuk menghasilkan pakaian, aksesori, dan hiasan dalaman rumah daripada kain denim terpakai bagi meningkatkan pendapatan syarikatnya.
Produk itu kini boleh didapati di kiosk di Kuala Lumpur Convention Centre dan secara atas talian di laman web 2ndchance.my dan akaun Instagram 2ndchance.my. – 23 September, 2018.
Komen