Iran panggil 3 diplomat Eropah susulan serangan perarakan tentera


Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan tembakan rambang ketika perarakan tentera di Ahvaz, sempadan Iraq-Iran diadakan semalam. – Gambar EPA, 23 September, 2018.

IRAN memanggil diplomat Denmark, Belanda dan Britain berhubung serangan terhadap perarakan tentera yang menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh di sempadan Iraq, kata media kerajaan hari ini.

Duta Belanda dan Denmark serta wakil Britain dimaklumkan berkenaan bantahan Iran terhadap tiga negara itu kerana memberi sokongan kepada sesetengah ahli kumpulan pengganas yang melakukan serangan itu, menurut agensi berita IRNA.

Kumpulan pengganas Islamic State (IS) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan yang jarang berlaku itu, yang menyaksikan penembak melepaskan tembakan ke arah orang ramai di bandar Ahvaz, semalam.

Pegawai kerajaan Iran menyalahkan “rejim asing” yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Iran menggesa Denmark dan Belanda mengekstradisi pelaku serangan itu dan rakan subahatnya untuk diadili di negara timur tengah, lapor IRNA, memetik jurucakap Kementerian Luar Bahram Qasemi. – AFP, 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen