AMERIKA Syarikat (AS) memulakan pembinaan tembok di Texas pada Sabtu sebagai sebahagian usaha Presiden Donald Trump untuk mengatasi kemasukan pendatang tanpa izin yang disifatkan sebagai ancaman keselamatan.
Dibina sepanjang enam kilometer di sempadan dengan Mexico, tembok baharu itu akan menggantikan pagar yang sedia ada di kawasan El Paso, Texas dan Ciudad Juarez, Mexico, kata pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menerusi satu kenyataan.
“Tembok ini akan tahan lebih lama dan efektif untuk menangani kemasukan pendatang haram,” kata pegawai kawalan sempadan di kawasan El Paso, Aaron Hull.
Tembok itu akan menggantikan pagar setinggi 5.4 meter yang diperbuat daripada besi.
Projek bernilai AS$22 juta (RM88 juta) itu akan siap dalam tempoh tujuh bulan.
Pada April, pasukan Kawalan Sempadan mengumumkan pembinaan tembok bagi menggantikan pagar di Santa Teresa, New Mexico.
Kebanyakan kawasan sempadan sudah dipagar tetapi Trump mengarahkan pembinaan tembok yang lebih kuat walaupun keputusan beliau menerima kritikan saintis yang mendakwa lebih 1,000 spesies haiwan akan terancam akibat projek itu.
Kongres setakat ini meluluskan AS$1.6 bilion daripada AS$25 bilion yang diminta Trump untuk pembinaan tembok berkenaan.
Pada awalnya, beliau meminta Mexico menanggung kos pembinaan tembok itu, sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.
Kebanyakan pendatang haram cuba menyusup masuk ke AS sama ada lari daripada pergaduhan kumpulan gengster atau mahu mencari taraf kehidupan yang lebih baik. – AFP, 22 September, 2018.
Komen