RIBUAN tentera Brazil menggempur kawasan setinggan Rio de Janeiro dalam operasi memburu kumpulan penjenayah pada Sabtu.
Operasi besar-besaran menyebabkan kawasan terbabit kelihatan seolah-olah medan perang.
Lima kumpulan utama gengster menjadi sasaran polis dan 3,600 anggota tentera yang menjalankan serbuan itu pada jam 4 pagi (waktu tempatan), menurut kenyataan pasukan keselamatan Rio.
Matlamat utama mereka adalah untuk menghentikan kumpulan yang melakukan kegiatan merompak trak komersil dengan waran tangkap dikeluarkan ke atas 40 individu.
Menurut penguatkuasa Rio, pada tahun lepas sahaja sebanyak 10,000 kes rompakan kargo dilaporkan.
Sepasukan tentera bersenjata lengkap dengan sut penyamaran, ratusan jip dan kenderaan perisai dilihat di Lins Favela, yang merupakan satu kawasan komuniti yang sering dikaitkan dengan kumpulan gengster.
Semua yang mahu memasuki atau keluar daripada Favela perlu melepasi beberapa pemeriksaan keselamatan.
Penduduk di Favela berkata mereka sering dikejutkan dengan bunyi tembakan apabila pasukan tentera dilihat mula memasuki kawasan itu menyebabkan mereka merasakan tidak selamat.
“Suasana di sini menjadi tegang dan ramai yang ketakutan,” kata Vauza Barroso da Silva ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
“Ramai yang susah untuk pergi kerja dan mereka melayan kita macam sampah,” kata bapanya Roberto 46, yang berang dengan pasukan keselamatan.
Pihak berkuasa berkata, antara kawasan lain yang menjadi sasaran adalah Camarsta Meier, Morros de Sao Joao dan Engenho Novo di utara dan Covanca di barat.
“Pasukan keselamatan bertanggungjawab untuk mengepung kawasan itu dan meetakkan kawasan strategik,” kata pasukan keselamatan negeri.
“Sesetengah jalan raya disekat dan ruang udara juga dilarang kepada penerbangan awam di beberapa sektor berikutan operasi ketenteraan di kawasan itu.”
Lapangan terbang Rio bagaimanapun tidak terjejas. – AFP, 5 Ogos, 2017.
Komen