EMPAT beradik antara lapan kanak-kanak yang terbunuh di Afghanistan ketika sebuah bom mortar lama tiba-tiba meletup ketika mangsa bermain dengan bahan letupan itu.
Enam lagi kanak-kanak turut cedera dalam kejadian itu yang berlaku di wilayah Faryab pada Jumaat.
Kesemua mangsa berusia antara lima hingga 12 tahun.
“Mereka menemukan bom mortar yang tidak meletup dan membawa ke rumah kami,” kata Shukrullah, pakcik kepada empat beradik yang maut dalam kejadian itu.
Pihak kerajaan menyalahkan Taliban atas insiden itu selepas kumpulan militan itu menawan kampung Koh-e-Sayad, lokasi kanak-kanak terbabit tinggal.
Kumpulan itu turut memasang periuk api berdekatan sebuah pos pemeriksaan keselamatan, kata jurucakap polis Faryab Abdul Karim Yoresh.
Golongan kanak-kanak sering terbunuh atau cacat akibat tinggalan bahan letupan ekoran konflik yang melanda negara itu sejak berpuluh tahun lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 3,179 kanak-kanak terbunuh atau cedera pada 2017, hampir satu pertiga daripada jumlah kematian orang awam pada tahun tersebut. – AFP, 22 September, 2018.
Komen