Korban serangan perarakan tentera meningkat 24 orang, Iran salahkan sekutu AS


Seorang anggota tentera mengangkat kanak-kanak yang cedera akibat serangan di majlis perarakan tentera di bandar Ahvaz, barat daya Iran. – Gambar AFP, 22 September, 2018.

ANGKA korban akibat serangan militan pada majlis perarakan tentera di barat daya Iran meningkat kepada 24 orang, lapor media tempatan.

Antara yang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak yang hadir pada perarakan itu manakala jumlah mangsa yang cedera mencecah 54 orang.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan tembakan itu tetapi pihak berkuasa menuding jari kepada kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan sekutu Amerika Syarikat (AS), dipercayai Arab Saudi.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata sekutu AS terlibat dalam serangan itu tetapi enggan menamakan pihak yang bertanggungjawab.

“Pengganas ini direkrut, dilatih, dilengkapi senjata dan dibayar oleh rejim luar untuk melancarkan serangan di Ahvas,” katanya merujuk kepada lokasi serangan berdarah itu.

Sementara itu jurucakap tentera darat Brigadier Jeneral Abolfazl Shekarchi antara mereka yang terkorban termasuk seorang kanak-kanak perempuan dan bekas askar.

“Tiga daripada empat pengganas yang terlibat dalam serangan itu telah ditembak mati di lokasi kejadian manakala pengganas keempat meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.

Timbalan gabenor Khuzestan Ali-Hossein Hosseinzadeh berkata seorang wartawan turut maut dalam serangan itu manakala lapan hinggan sembilan tentera disahkan terkorban setakat ini. – AFP, 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen