SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan tidak menyokong perkahwinan sejenis tetapi hanya memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata pengerusinya Razali Ismail.
Razali berkata berdasarkan kepercayaan terhadap hak asasi manusia, Suhakam mengambil pendirian bahawa tiada siapa berhak untuk mendiskriminasi terhadap golongan LGBT atau mengancam mereka dengan sentimen kebencian atau keganasan.
Beliau berkata demikian sebagai membidas laporan media yang mengatakan Suhakam menyokong hubungan dan perkahwinan sejenis di Malaysia.
Razali berkata Suhakam percaya kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat bahawa Malaysia tidak akan menerima perkahwinan sejenis atau hak LGBT, susulan saranan pihaknya kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet agar kerajaan bersetuju terhadap perjanjian antarabangsa hak asasi manusia seperti yang tertera pada manifesto Pakatan Harapan.
Manifesto itu menjanjikan penambahbaikan kualiti hidup rakyat Malaysia termasuk golongan LGBT.
Razali menyuarakan kekecewaan bagi pihak Suhakam kerana masih tiada pengesahan daripada Malaysia terhadap perjanjian itu ekoran ketidaksungguhan kerajaan memenuhi komitmen dalam memperjuangkan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan tidak boleh benarkan satu keadaan di mana kepercayaan agama peribadi ditambah dengan ketiadaan tindakan kerajaan atau homofobia politik menjadi lesen kepada keganasan terhadap LGBT. Di Malaysia, terdapat kes-kes yang melibatkan keganasan dan pembunuhan terhadap individu transgender,” katanya lagi.

“Suhakam akan terus menjelaskan bahawa hak asasi manusia adalah standard asas dan tanpanya rakyat tidak boleh hidup dengan bermaruah. Suhakam juga akan menjadikan konvensyen antarabangsa sebagai standard minimum untuk kerajaan melayani rakyat,” katanya menerusi satu kenyatan hari ini.
Katanya, hak asasi akan menjanjikan rakyat tentang kepentingan untuk memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, air bersih, rumah, kesihatan dan pendidikan, sekali gus membolehkan mereka mengambil semua peluang yang ada.
Razali berkata Suhakam yakin bahawa tiada konvensyen antarabangsa yang jika disertai, kerajaan akan wajib membenarkan perkahwinan sejenis sebagai sesuatu yang sah di sisi undang-undang.
“Walaupun Suhakam percaya dan setuju dengan kesejagatan hak asasi manusia, kami tidak pernah gagal untuk mengambil kira nilai-nilai konteks tempatan,” kata Razali.
Katanya kerajaan tidak boleh membiarkan situasi seperti kepercayaan agama seseorang bercampur dengan tiada tindakan daripada kerajaan dan sentimen homofobia yang dipolitikkan, menjadi lesen untuk melakukan keganasan ke atas LGBT.
Beliau berkata terdapat kes transgender dibunuh dan dikasar, dan Suhakam percaya sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan undang-undang antidiskriminasi bagi menjaga semua warga.
Beliau turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa semua individu tidak kira kecenderungan seksual atau identiti jantina mempunyai hak yang sama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Razali berharap kerajaan akan mengiktiraf Suhakam sebagai rakan bernilai dalam bekerjsama untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bertoleransi dan bermaklumat bagi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian di Malaysia. – 22 September, 2018.
Komen