Akhbar tonjol perbezaan pandangan Dr Mahathir, Anwar isu LGBT


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpendirian LGBT tidak dapat diterima Malaysia kerana sistem nilai negara ini berbeza daripada negara-negara barat. – Gambar fail The Malaysian Insight,22 September, 2018.

PERBEZAAN pendirian di antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim dalam isu melibatkan golongan LGBT menjadi laporan utama beberapa akhbar dalam negara hari ini.

Akhbar berkenaan memuatkan penegasan Dr Mahathir bahawa Malaysia tidak mengiktiraf golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) kerana bertentangan dengan nilai di negara ini.

Di ruangan bersebelahan, akhbar terbabit menyiarkan pandangan Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang menuntut agar undang-undang melibatkan kesalahan seks sejenis dipinda agar lebih adil.

Perbezaan pendirian itu ditonjolkan Sinar Harian, Utusan Malaysia, dan New Straits Times hari ini yang memuatkannya sebagai tajuk utama di muka hadapan.

Ia memetik kenyataan Dr Mahathir semalam yang mengakui bahawa kerajaan mendapat taklimat daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung hak golongan LGBT.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menerima amalan golongan tersebut kerana menurutnya nilai-nilai yang dipegang di negara ini berbeza dengan masyarakat Barat.

“Kita perlu mengingatkan Suhakam bahawa sistem nilai kita adalah tidak sama dengan sistem nilai Barat, mereka lebih bebas. 

“Tetapi di Malaysia, (ada) perkara tertentu yang kita tidak boleh terima walaupun sekarang ini dianggap sebagai hak asasi manusia di negara Barat,” kata beliau seperti yang dipetik Sinar Harian. 

Tambahnya, Malaysia juga tidak akan menerima LGBT atau perkahwinan sejenis sama ada antara dua lelaki atau dua wanita malah konsep kekeluargaan di negara ini juga tidak akan berubah.

Dr Mahathir berkata konsep keluarga di negara ini masih kekal terdiri daripada lelaki dan wanita serta anak-anak atau anak angkat, manakala perkahwinan sejenis tidak diiktiraf sebagai keluarga.

Perdebatan isu LGBT menjadi hangat di kalangan masyarakat ekoran kumpulan aktivis dan beberapa individu menggesa kerajaan mengiktiraf kumpulan tersebut. –Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

Akhbar berkenaan seterusnya mengutip kenyataan Anwar Ibrahim yang menyifatkan undang-undang yang menghukum kesalahan liwat adalah kuno, ketinggalan zaman dan tidak adil. 

Laporan berkenaan mengutip pandangan Anwar dalam satu temubual yang disiarkan rangkaian TV antarabangsa Al-Jazeera semalam.

Dalam temubual dengan pengacara Mehdi Hassan itu, Anwar berkata undang-undang yang pernah digunakan untuk memenjaranya sebanyak dua kali itu adalah hasil tinggalan penjajahan British.

“Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang itu boleh dituduh tanpa bukti yang kukuh..

“Undang-undang mesti dipinda untuk memastikan ada keadilan dalam prosesnya dan ini bukan soal orientasi seks. Ia mengenai apa yang dilakukan atau dipaparkan secara terbuka yang bertentangan dengan norma majoriti rakyat bukan hanya orang Islam tetapi juga Kristian, Hindu, dan pengikut Buddha di negara ini,” katanya.

Anwar Ibrahim juga tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu baru-baru ini yang disabut atas kesalahan cuba melakukan hubungan seks sejenis.

“Saya fikir ia ini jelas tidak adil. Walaupun mereka menggunakan syariah sebagai asas, kita tidak boleh pertahankan tindakan itu. 

“Itu bukan hudud syariah, itu tafsiran mereka (kerajaan PAS) atas beberapa aspek,” jelas beliau lagi dalam program Upfront itu.

Anwar disabit dan dipenjarakan dua kali kerana liwat – kali pertama pada lewat 90-an selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri ketika Dr Mahathir merupakan perdana menteri dan sekali lagi pada 2014.

Sabitan pertama dibatalkan pada 2004 dan beliau  diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada Mei tahun ini selepas PH menang dalam pilihan raya umum 9 Mei.– 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen