Lagi wartawan dibunuh di Mexico


Jenayah pembunuhan melibatkan wartawan semakin berleluasa di Mexico. – Gambar fail The Malaysian Insight,22 September, 2018.

SEORANG wartawan warga Mexico terbunuh akibat ditembak ketika meninggalkan rumahnya di selatan Mexico, Chiapas.

Pembunuhan itu dilaporkan akhbar tempatan pada Jumaat menjadikan sekurang-kurangnya sembilan kes pembunuhan wartawan di negara itu bagi tahun ini.

Mario Gomez, seorang wartawan El Heraldo de Chiapas adalah mangsa terbaru keganasan ke atas petugas media di Mexico, negara kedua yang paling mengancam nyawa wartawan di dunia selepas Syria menurut kumpulan pemantau Reporters Without Borders.

“Beliau baru-baru ini memfailkan aduan kerana mendapat ancaman,” kata seorang temannya yang enggan mendedahkan nama kepada agensi AFP.

Akhbar El Heraldo berkata Gomez ada seorang koresponden berita umum di bandar Yajalon, beliau sedang menuju ke pejabat sambil diekori dua orang lelaki yang kemudian “membunuh beliau tanpa perikemanusiaan” dengan melepaskan beberapa tembakan ke bahagian abdomen wartawan itu.

Gomez yang berusia 35 tahun dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia dalam perjalanan akibat luka parah, akhbar itu dipetik sebagai berkata.

“Kami gesa siasatan terperinci untuk mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah ini,” tulis teman-temannya di ruangan editorial yang diterbitkan portal atas talian akhbar itu.

Pejabat peguam negara itu berkata dalam sebuah kenyataan pihaknya akan “membuat siasatan menyeluruh bagi menyelesaikan kes jenayah itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah.” – AFP, 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen