PENYANYI terkenal Rihanna kini bergelar Duta Rihanna selepas dilantik oleh negara asalnya, Barbados untuk mempromosikan pelaburan dan pelancongan negara itu.
Perdana Menteri Mia Amor Mottley berkata Rihanna - atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty - dianugerahkan gelaran “duta luar biasa dan berkuasa mutlak”.
Menurut Motley, Rihanna akan bertanggungjawab membawa masuk pelaburan serta menggalakkan bidang pendidikan dan pelancongan.
“Saya amat bangga menerima gelaran berprestij di negara asal saya. Stiap rakyat Barbados perlu memainkan peranan mereka dalam usaha ini, dan saya gembira serta bersedia untuk memikil tanggungjawab,” kata Rihanna dalam satu kenyataan pada Khamis.
Penyanyi berusia 30 tahun itu membesar dalam keluarga bermasalah di Barbados dan menjadi terkenal selepas bertemu penerbit AS, Evan Rogers yang mengesan bakatnya.
Empat belas lagunya menduduki tangga teratas dalam senarai US Billboard. Beliau menetap di Los Angeles dan New York selepas mula terkenal. – AFP, 22 September, 2018.
Komen