Puluhan bekas banduan bertanding pilihan raya Indonesia


Bekas banduan itu adalah antara 8,000 calon yang merebut kerusi Parlimen dan daerah dengan 186 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada hari pengundian 17 April tahun depan. – Gambar EPA, 21 September, 2018.

PULUHAN bekas banduan yang dipenjara kerana korupsi dijadualkan bertanding dalam pilihan raya Indonesia, kata agensi pilihan raya negeri itu hari ini, ketika negara terbesar penganut Islam itu memulakan kempennya hujung minggu ini.

Bekas banduan itu adalah antara 8,000 calon yang merebut kerusi Parlimen dan daerah dengan 186 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada hari pengundian 17 April tahun depan.

Kempen pilihan raya akan bermula Ahad ini.

Indonesia dilanda masalah korupsi pada semua lapisan masyarakat dan Dewan Perwakilannya dianggap salah sebuah institusi terkorup.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung minggu lepas memutuskan 38 calon yang sebelum ini disabitkan bersalah kerana korupsi boleh bertanding walaupun mempunyai rekod jenayah.

Penghakiman itu dikeluarkan selepas agensi pilihan raya Indonesia cuba membatalkan kelayakan mereka untuk bertanding.

“Kami sebenarnya tidak setuju, tetapi kerana Mahkamah Agung sudah beri lampu hijau kepada mereka untuk bertanding, kami tak boleh buat apa-apa,” kata Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Arief Budiman kepada AFP hari ini.

Pengundi perlu diberikan akses untuk meneliti rekod jenayah calon supaya mereka boleh membuat keputusan bermaklumat, kata Titi Anggraini, pengarah eksekutif kumpulan pro demokrasi Perludem.

“Suruhanjaya Pilihan Raya kena telus- dedahkan sejarah hidup calon dalam laman sesawang mereka supaya semua orang tahu. Tetapi setakat ini mereka tak buat,” katanya.

Julai lalu, Tommy Suharto, anak bongsu bekas diktator Suharto berkata beliau merancang untuk bertanding merebut kerusi Parlimen walaupun disabitkan bersalah mengarahkan pembunuhan hakim Mahkamah Agung yang menyabitkan beliau bersalah kerana korupsi.

Bekas speaker Parlimen Setya Novanto juga dipenjara tahun ini kerana mengambil rasuah berjuta dolar. – AFP, 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen