KOMUNITI antarabangsa digesa memberikan tekanan kepada Israel untuk menyertai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), lapor agensi berita China Xinhua memetik stesen penyiar tempatan pada Jumaat.
Menurut laporan Press TV yang memetik kenyataan Kazem Gharibabadi, Duta Iran merangkap wakil tetap negara itu ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memaksa Israel mematuhi arahan agensi itu adalah satu-satunya jalan untuk membawa keamanan ke Timur Tengah.
Gharibabadi membuat kenyataan itu pada Khamis ketika berucap di Sesi Tahunan ke-62 Persidangan Umum IAEA di Vienna.
Beliau turut mengkritik IAEA atas apa yang disifatkan sebagai “menyerah kalah” kepada tekanan Israel dan tidak mengikuti aktiviti-aktiviti nuklear berbahaya Israel.
Gharibabadi berkata cadangan yang diusulkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melarang senjata nuklear di rantau itu, yang telah diluluskan pada 1974 dan dinamakan sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear Timur Tengah, sambil menambah bahawa “ketiadaan kemahuan politik” telah mengekang negara serantau daripada melaksanakan keputusan antarabangsa tersebut.– Bernama, 21 September, 2018.
Komen