Pesakit kanser di Lubnan naik 5.5% setiap tahun


Pesakit kanser di Lubnan naik 5.5% setiap tahun sejak 2005 hingga 2006. Bangunan disimbahi cahaya warna ungu untuk kempen kesedaran barah payu dara di negara itu. – Gambar EPA, 21 September, 2018.

KADAR pesakit kanser di Lubnan meningkat sebanyak 5.5% setiap tahun mulai 2005 hingga 2016, lapor agensi berita China Xinhua memetik akhbar tempatan pada Jumaat.

Menurut akhbar Asharq Al Awsat, yang memetik kenyataan Menteri Kesihatan Sementara, Ghassan Hasbani, pihaknya telah menilai jumlah pesakit kanser berdasarkan statistik mereka yang mendaftar untuk rawatan.

“Jadi, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi,” kata Ghassan sambil menambah bahawa kadar pesakit kanser di Lubnan adalah serupa dengan, atau lebih tinggi berbanding kadar di Eropah.

Punca paling umum penyakit kanser di Lubnan, menurut menteri itu, ialah pencemaran udara, pembakaran sisa dan pencemaran air bawah tanah serta air dalam sistem pengairan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Fadi Alameh memaklumkan Elnashra, sebuah akhbar online bebas, bahawa kekurangan keselamatan makanan di Lubnan adalah antara punca langsung penyakit kanser di negara tersebut.

Beliau berkata Lubnan tidak membuang sisa-sisa industri dengan sempurna.

Menurut agensi berita tempatan Al Markazia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan terdapat lebih 17,000 kes baharu kanser pada 2018 di Lubnan dan 242 pesakit kanser bagi setiap 100,000 rakyat Lubnan. – Bernama, 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen