SEBELAS ekor singa yang dipercayai mengalami jangkitan paru-paru telah ditemui mati dalam tempoh 10 hari di sebuah hutan di negeri Gujarat yang terletak di barat India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai perhutanan pada Jumaat.
Bangkai haiwan itu ditemui di hutan Gir, kira-kira 379 kilometer di barat daya Gandhinagar, ibu negeri Gujarat.
Menurut Hitesh Vamja, kerajaan tempatan telah mengarahkan satu inkuiri dijalankan berhubung kematian haiwan itu.
“Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila mengetahui tentang kematian singa-singa ini. Kami telah menghantar kesemua bangkai untuk bedah siasat dan kini menunggu satu laporan terperinci,” katanya.
“Siasatan awal mendedahkan singa terbabit mengalami jangkitan paru-paru dan dalam sesetengah kes, ia telah merebak ke bahagian lain tubuh haiwan itu.”
Beberapa laporan memetik kenyataan para pegawai perhutanan bahawa kematian itu mungkin berpunca daripada kecederaan yang dialami binatang buas terbabit ketika bergaduh sesama sendiri.
Laporan itu menyebut mengikut bancian pada 2015, terdapat 520 ekor singa di hutan Gir. – Bernama, 21 September, 2018.
Komen