SEKURANG-KURANGNYA 94 orang terbunuh selepas feri penumpang terbalik di Tasik Victoria, Tanzania, lapor Xinhua, memetik media tempatan pada Jumaat.
Pesuruhjaya Wilayah Mwanza John Mongella berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Seramai 200 penumpang berada di dalam feri MV Nyerere ketika kejadian.
Menurut sumber lain, feri malang dengan kapasiti 101 penumpang dan 25 tan kargo itu terbalik pukul 1 petang waktu tempatan, Khamis. Jumlah mangsa terselamat setakat ini ialah 37 orang.
“Pasukan penyelamat masih berusaha untuk mencari mangsa yang hilang. Beberapa mangsa dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing,” kata Komandan Polis Daerah Mwanza, Jonathan Shana.
Beliau berkata, jumlah sebenar mangsa yang maut belum dapat dipastikan dan punca kejadian juga masih disiasat.
Sementara itu, Presiden Tanzanian John Magufuli “sedih dengan insiden itu dan bersimpati kepada semua mangsa”. – Bernama, 21 September, 2018.
Komen