PERDANA Menteri Britain Theresa May yang “dihina” pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) yang menolak rancangan Brexit beliau memenuhi ruang berita akhbar-akhbar Britain hari ini.
Bagaimanapun, akhbar yang menyokong perdana menteri itu menuduh mereka yang merendahkan beliau bertindak seperti kongsi gelap mafia.
“Penghinaan terhadap May” kata tajuk utama muka depan The Times, sementara akhbar Guardian yang dikenali pro-EU menerbitkan tajuk utama yang seakan serupa: “May terhina apabila pemimpin Eropah beritahu: pelan Brexit anda tak boleh pakai.”
Kedua-dua akhbar itu meletakkan gambar-gambar yang menunjukkan May keseorangan dengan dikelilingi pemimpin Kesatuan Eropah yang menolak rancangannya.
Sidang kemuncak Salzburg “telah menimbulkan krisis dalam kerajaan,” kata The Times, di samping menambah barisan menteri harus memaksa beliau untuk meninggalkan rancangannya yang digelar “Chequers”- yang hanya menumpukan perdagangan bebas antara UK dan EU hanya untuk barangan menerusi undang-undang yang disepakati “dalam beberapa hari”.
The Guardian turut memberikan amaran kuasa May sebagai perdana menteri berada dalam ancaman serius.
Sementara Daily Telegraph yang pro-Brexit meletakkan gambar pemimpin Perancis Emmanuel Macron yang dikenali sebagai salah seorang pengkritik tegar perdana menteri itu di muka depan dengan sub tajuk “rundingan yang teruk mengancam kepimpinan Perdana Menteri menjelang persidangan Tory.”
Satu lagi akhbar penyokong Brexit, Daily Mail yang merupakan tabloid berhaluan tengah-kanan mengambil suara yang lebih bersifat menyerang, “May marah: ‘kami sedia untuk keluar’” di muka depannya.
Tabloid popular The Sun pula bersikap lebih berterus-terang dengan mengkritik pemimpin EU, dengan meletakkan gambar Macron dan Ketua Majlis EU Donald Tusk sebagai “samseng-samseng Eropah” di bawah tajuk “Tikus-tikus kotor EU”.–AFP, 21 September, 2018.
Komen