HUKUMAN mati ke atas seorang bekas pengasuh yang memulakan kebakaran sehingga meragut nyawa empat sekeluarga pada 2017, telah dilaksanakan pada Jumaat di Wilayah Zhejiang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah mahkamah tempatan.
Menurut Mahkamah Rakyat Hangzhou, hukuman mati yang dijatuhi ke atas Mo Huanjing telah dikaji semula dan dipersetujui oleh mahkamah tertinggi di China, Mahkamah Agung Rakyat (SPC).
Sebelum pelaksanaan hukuman itu, Mahkamah Rakyat Hangzhou telah memaklumkan saudara-mara terdekat Mo mengenai hak mereka untuk bertemu tertuduh, namun mereka membuat keputusan untuk melupuskan hak itu.
“Motif Mo adalah menjijikkan, amat kejam dan berbahaya kepada orang lain. Kesan jenayah itu adalah teruk dan menjejaskan keselamatan awam,” menurut SPC.
Meskipun Mo mengaku memulakan kebakaran itu sejurus selepas dia ditahan, corak dan kekejaman jenayah tersebut selain kesan sosialnya, tidak menyokong pemberian kelonggaran hukuman terhadap tertuduh, kata SPC.
“Bukti dalam kes itu adalah faktual dan mencukupi manakala hukuman yang dijatuhkan adalah wajar,” katanya.
Mo adalah seorang yang suka berjudi dan mempunyai hutang keliling pinggang. Dia mula bekerja dengan keluarga Zhu Xiaozhen dan Lin Shengbin pada September 2016.
Dari bulan Mac hingga Jun 2017, dia telah mencuri barangan kemas dan jam tangan keluarga itu serta meminjam wang daripada Zhu, namun wang itu telah digunakan untuk berjudi.
Pada 21 Jun 2017, Mo membuat rancangan untuk terus mendapatkan kepercayaan Zhu dengan memulakan kebakaran itu sebelum bertindak memadamnya.
Kebakaran itu, bagaimanapun, merebak dengan begitu cepat sehingga menyebabkan Zhu serta tiga anaknya maut akibat keracunan gas karbon monoksida.
Mo turut disabitkan dengan kesalahan mencuri. – Bernama, 21 September, 2018.
Komen