34 pengurus pasar raya dipenjara kerana sorok barang, naikkan harga


Media tempatan melaporkan kebanyakan pengurus yang ditahan bekerja di Central Madeirense, rangkaian yang diasaskan sekitar 70 tahun lalu oleh pendatang Portugis. – Gambar EPA, 21 September, 2018.

34 pengurus pasar raya dipenjara atas tuduhan menyorokkan bekalan makanan dan menaikkan harga, kata Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

Tindakan itu sejajar dengan usaha kerajaan bagi menangani ekonomi negara yang semakin merudum.  

“Terdapat beberapa pasar raya menyembunyikan produk dan meletakkan harga sesuka hati mereka. Apa alasan mereka untuk tidak mematuhi peraturan,” kata Maduro dalam siaran televisyen selama sejam. 

Media tempatan melaporkan kebanyakan pengurus yang ditahan bekerja di Central Madeirense, rangkaian yang diasaskan sekitar 70 tahun lalu oleh pendatang Portugis. 

Syarikat itu dan Kementerian Penerangan Venezuela setakat ini, belum memberikan sebarang komen.

Bulan lalu, Maduro mengumumkan beberapa langkah pembaharuan ekonomi, antaranya kenaikan gaji 60 kali ganda dan menurunkan nilai mata wang sebanyak 96%. 

Ahli ekonomi mengatakan pembaharuan Maduro tidak akan menangani akar umbi kepada masalah itu, sebaliknya ia akan menjejaskan lagi ekonomi. 

Maduro bagaimanapun optimis mengenai pembaharuan yang diperkenalkannya.

Selain itu, Venezuela pada Oktober akan mula menggunakan petro, mata wang kripto yang dilancarkan dalam perdagangan antarabangsa tahun ini. 

Sistem baharu itu akan dilaksanakan untuk pembelian gas dan akan diperluaskan ke seluruh negeri pada Isnin, kata Maduro.

Mata wang kripto iaitu mata wang digital yang dicipta pakar komputer itu mencetuskan fenomena di seluruh dunia dan telah berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun lalu dan kini semakin diterima ramai sebagai satu bentuk komoditi untuk pelaburan.

Di samping itu Maduro, memberikan bank tempoh 48 jam untuk bank mengeluarkan wang tunai yang mereka simpan. – Bernama, 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen