SYARIKAT perlombongan Kanada, Continental Gold, berkata tiga ahli geologinya terbunuh dalam satu serangan bersenjata oleh anggota kumpulan bekas pemberontak di wilayah Antioquia yang terletak di utara Colombia.
Tiga lagi turut cedera dalam serangan itu yang berlaku pada Khamis, menurut seorang jurucakap syarikat tersebut.
Insiden berlaku di pekan Ochali dalam perbandaran Yaramul, Antioquia, yang terletak dalam sempadan projek Berlin Continental itu.
Menurut kenyataan tentera Colombia, seorang individu hilang selepas insiden itu, dan mangsa dikatakan telah dibawa keluar oleh bekas anggota kumpulan pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), yang telah dibubarkan tahun lepas di bawah satu perjanjian damai.
Kira-kira 12,000 anggota FARC, termasuk sejumlah 6,000 pejuang, telah dibubarkan di bawah perjanjian itu dan kumpulan tersebut kini menjadi sebuah parti politik.
Bagaimanapun, lebih 1,200 bekas pejuang FARC tidak meletakkan senjata mereka sebaliknya menubuhkan kumpulan baharu yang banyak terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan perlombongan haram.
Pemasangan tenaga dan projek-projek di negara Andean itu, terutama saluran minyak, secara sengaja dijadikan sasaran pengeboman dan serangan lain oleh kumpulan pemberontak serta pembangkang.
Serangan pada Khamis adalah yang kedua ke atas kakitangan Continental sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Seorang jurutera maut manakala seorang lagi cedera pada 5 Sept selepas mereka ditembak semasa dalam perjalanan di kawasan berhampiran lombong syarikat itu di Buritica. – Bernama, 21 September, 2018.
Komen