Hubungan tegang Cuba-AS, Diaz-Canel jumpa Senator AS


Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel akan berjumpa Senator Bob Corker bagi membincangkan hubungan antara kedua-dua negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

PRESIDEN Cuba Miguel Diaz-Canel mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS) Bob Corker, bagi membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang tegang sejak kebelakangan ini, demikian menurut laporan media kerajaan.

Corker, seorang Republikan yang sering mengkritik Presiden Donald Trump, adalah antara pegawai tertinggi ditemui Diaz-Canel sejak menggantikan Raul Castro sebagai presiden pada April lalu.

Hubungan kedua-dua negara meruncing sepanjang tahun lalu, AS menuduh Cuba melancarkan “serangan kesihatan” terhadap pegawai diplomat mereka di Havana. Cuba bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Diaz-Canel dijadual berlepas ke AS untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) selepas pertemuan itu.

Dalam satu temuramah pada Ahad lalu, beliau berkata perbincangan dengan Trump tidak boleh diadakan, selagi pentadbirannya mengekalkan sikap “tidak normal” terhadap Cuba.

Pentadbiran Trump, memperketatkan sekatan perdagangan dan larangan perjalanan ke Cuba di samping mengurangkan kakitangan kedutaan di Havana dari 50 hingga ke 18 orang. – Bernama, 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen