PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menolak apa-apa bentuk bantuan kerajaan dalam Pilihanraya Kecil Port Dickson yang akan diadakan bulan depan.
Anwar berkata beliau memaklumkan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri termasuk beberapa menteri lain untuk tidak menggunakan jentera kerajaan ketika kempen PRK tersebut.
“Saya jelaskan saya tidak mahu apa-apa kemudahan kerajaan atau jenteranya digunakan ketika pilihanraya kecil berlangsung,” kata Anwar kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Beliau turut menyatakan keengganannya untuk melibatkan menteri-menteri dalam kempen PRK itu dengan menggunakan jawatan rasmi mereka, mereka hanya boleh berkempen hanya dengan menggunakan jawatan sebagai pemimpin parti.
“Saya mahu pastikan mereka hanya berkempen sebagai pemimpin parti,” tambah Anwar.
Beliau berkata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kepenggunaan telah menangguhkan satu program kementeriannya yang dijadualkan dalam tempoh kempen PRK itu.
“Saya diberitahu oleh Saifuddin ada program yang disusun tetapi beliau terpaksa menangguhkannya kerana kita mahu pilihanraya yang bersih,” kata Anwar lagi. – 21 September, 2018.
MENYUSUL
Komen