SEKURANG-KURANGNYA 44 orang maut dan puluhan lain dikhuatiri hilang selepas sebuah feri terbalik di Victoria, tasik terbesar di Afrika, dengan pencarian mangsa yang selamat disambung pada Jumaat.
Terdapat “lebih 100 penumpang” di atas feri apabila ia karam pada petang Khamis berhampiran Pulau Ukara di tenggara tasik, kata pegawai tempatan.
“Dikhuatiri jumlah yang terkorban bertambah,” kata George Nyamaha, ketua majlis daerah Ukerewe.
Gabenor wilayah itu, John Mongella berkata pada petang Khamis jumlah mangsa mencecah 44 orang manakala 37 yang berjaya diselamatkan, walaupun beberapa mangsa yang masih hidup berada dalam “keadaan tenat”.
Beliau menambah operasi menyelamat ditangguhkan dan akan diteruskan pada pagi Jumaat.
Agensi Perolehan, Mekanikal dan Perkhidmatan Tanzania menyatakan ia tidak mengetahui dengan tepat jumlah penumpang yang berada dalam feri MV Nyerere.
Feri itu juga turut membawa kargo, termasuk berguni jagung dan simen, ketika ia terbalik berhampiran dengan dok.
Punca kemalangan masih tidak diketahui, namun beban muatan kerap menjadi punca bagi kejadian seperti itu.
Jurucakap Presiden John Magufuli, Gerson Msigwa juga berkata di televisyen negeri TBC 1 yang jumlah kematian lebih daripada 40 orang.
Dengan keluasan permukaan 70,000 kilometer persegi (27,000 batu persegi), Tasik Victoria berbentuk bujur adalah bersama hampir saiz Ireland.
Kejadian bot atau feri karam bukanlah perkara luar biasa di tasik besar itu, dan sering melibatkan bilangan kematian yang tinggi kerana kekurangan jaket penyelamat serta ramai yang tidak boleh berenang.
Kemalangan paling dahsyat setakat ini adalah pada Mei 1996, apabila kira-kira 800 orang mati selepas feri dinaiki tenggelam ketika dalam perjalanan ke Mwanza di Tanzania.
Air di tasik itu boleh menjadi ganas dan perahu sering tidak diselenggara dengan baik, sementara pengendali feri kerap gagal merekodkan jumlah sebenar penumpangnya.
Kira-kira 20 orang lemas pada Disember 2016 apabila bot terbalik di Tasik Victoria semasa membawa penumpang ke tanah besar Uganda untuk cuti Krismas.
Pada Mac 2012, hanya dua mangsa ditemui selepas bot yang dipercayai membawa kira-kira 60 orang terbalik di tasik di Uganda. – AFP, 19 September, 2018.
Komen