Reformasi bukan soal sosok tapi idea, kata Hishamuddin Rais


Nabihah Hamid

Aktivis gerakan reformasi Hishamuddin Rais berkata, reformasi adalah gerakan rakyat yang tidak terikat kepada mana-mana individu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018

REFORMASI tidak patut menjadi slogan untuk kempen peribadi kerana ia adalah satu idea perubahan dan gerakan rakyat, kata aktivis gerakan itu, Hishamuddin Rais.

Tegasnya, reformasi tidak patut terikat pada batang tubuh sesiapa dan tidak boleh jadi milik sesiapa kerana tujuannya untuk membawa perubahan untuk Malaysia lebih adil, telus dan demokratik.

Malah, mana-mana pemimpin PKR tidak akan diangkat oleh rakyat jika mereka tidak mendukung idea reformasi, walaupun parti itu lahir kerana gerakan reformasi 1998.

“(Reformasi) adalah milik anak semua bangsa rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk mendirikan negara adil dan demokratik.

“Jangan silap faham, dalam semua gerakan dalam dunia ini bukan sosok, bukan tubuh (tetapi) yang maha penting adalah idea. Idea inilah yang menjana apa-apa gerakan.

“Jikalau contoh, (presiden PKR) Anwar Ibrahim itu tidak menyokong agenda reformasi, tiada siapa pun akan ambil peduli.

“Kalau (timbalan presiden PKR) Azmin Ali tidak menyokong perjuangan menjadikan negara lebih baik, tiada siapa peduli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pasukan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggunakan slogan 20 Tahun Reformasi dalam pemilihan parti dan untuk menggesa ahli menyokong usaha mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018

Beliau membangkitkan perkara itu dalam latar pemilihan PKR yang menyaksikan pertembungan di antara Azmin dan pencabar untuk jawatan timbalan presiden itu, Rafizi Ramli.

Dalam kempen kali ini, pasukan Rafizi menggunakan slogan 20 Tahun Reformasi dan untuk menggesa ahli menyokong usaha mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata itulah sebab beliau beralih menyokong Dr Mahathir Mohamad ketika kempen pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Walhal tokoh itu bertanggungjawab memenjara beliau sebanyak dua kali bawah ISA sebelum ini.

“Dr Mahathir dulu saya tentang kerana menyokong kezaliman dan ketidakadilan. Apabila dia beralih melawan Najib Razak saya sokong. Jadi yang disokong itu bukan sosok tetapi idea. 

“Saya setia pada idea untuk menjadikan Malaysia yang adil,” kata Hishamuddin yang ditahan bawah ISA sebanyak dua kali ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri sebelum ini.

Gerakan reformasi muncul pada malam 20 September 1998 apabila Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan seterusnya disabitkan dengan kesalahan kes liwat dan salahgunakuasa.

Menyorot kembali pengalamannya dalam gerakan itu,  Hishamuddin berkata reformasi di Malaysia sebenarnya sudah bermula jauh lebih awal sebelum Anwar menggerakkan protes rakyat di jalanan.

Gerakan reformasi tercetus selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998. – Gambar AFP,  21 September, 2018

Reformasi bermula sejak British menyerahkan semula pentadbiran tanah air ini kepada rakyat apabila Malaya merdeka pada 1957, katanya.

Hishamuddin memberikan contoh penentangan rakyat terhadap undang-undang yang menekan yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak Merdeka, serta perjuangan rakyat menuntut pengagihan ekonomi yang lebih saksama.

“Kita lihat juga gerakan mahasiswa terus menerus berjuang mendirikan sebuah negara betul-betul merdeka tulen.

“Jadi hakikatnya agenda reformasi  ini telah dibawa pada malam 31 Ogos (1957),” katanya. – 21 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen