SEKURANG-KURANGNYA 34 orang maut di utara Ghana semasa banjir susulan hujan lebat dan limpahan air dari sebuah empangan di Burkina Faso pada Khamis, kata pegawai agensi bantuan.
Empangan Bagre terletak di sungai White Volta yang bermula di Burkina Faso dan mengalir ke Tasik Volta di selatan Ghana.
Pihak berkuasa membuka melepaskan air empangan semasa hujan setiap tahun, tetapi jumlah air yang berlebihan kerap membanjiri kawasan penduduk di sepanjang sungai.
Penduduk yang tinggal di sepanjang sungai White Volta diminta untuk menjauhkan diri dari tebingnya sementara yang lain diarahkan berlindung di tempat lebih tinggi.
Seji Saji, timbalan ketua Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan Ghana, berkata situasi itu berada dalam kawalan dan pasukan bekerja keras menyampaikan bantuan kepada mereka yang terjejas.
“Kami merekodkan 34 kematian dan dua orang hilang. Mereka yang terlibat adalah lebih daripada 52,000 penduduk dan kami masih menilai keadaan,” katanya.
“Insiden terjadi ketika air sungai melimpahi tebing tetapi kadarnya sudah berkurangan dan agak bernasib baik kerana sejak minggu lalu tiada hujan lebat.”
Presiden Ghana Nana Akufo-Addo dan kerajaannya dikritik kerana tidak melawat mangsa banjir.
Agensi program bantuan Oxfam dan pengurus kempen di Ghana, Zakaria Sulemana, berkata keadaan itu memerlukan pemimpin politik atasan.
“Orang ramai mahu mendengar presiden, sebenarnya kita patut melihat presiden melawat kawasan itu untuk meredakan mereka atau lebih baik jika memulakan tindakan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Saji berkata Naib Presiden Mahamudu Bawumia akan melawat mangsa banjir hujung minggu ini. – AFP, 19 September, 2018.
Komen