Reformasi milik rakyat, bukan individu atau keluarga, kata Azmin


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menggesa ahli memilih pemimpin yang benar-benar berkebolehan untuk memimpin parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengingatkan ahli parti itu “reformasi” yang diperjuangkan mereka sejak 20 tahun lalu bukan milik individu mahupun keluarga tertentu.

Beliau yang mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR kali ini berkata, reformasi adalah milik rakyat dan perjuangan hari ini adalah untuk menghidupkan “Reformasi 2.0” dengan melaksanakan segala janji kepada rakyat.

“Kita ingat tarikh keramat 20 September apabila Anwar Ibrahim ditangkap. Saya kena tangkap dulu pada 16 September. Saya ditelanjangkan, saya dihina ketika itu…lapan hari saya dipijak, dipukul saya tetap setiap mempertahankan Anwar, mana mereka yang mendabik dada ketika itu.

“Reformasi bukan milik individu atau kumpulan dan keluarga bukan sendirian berhad. Reformasi milik rakyat Malaysia.

“Jangan ada pihak yang baru lahir, tiga empat tahun (bersama PKR) seolah-oleh kerana dialah kita menang (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya, ketika berucap di hadapan 200 ahli PKR di Tampin, Negeri Sembilan malam tadi.

Tambah menteri hal ehwal ekonomi itu, setiap ahli PKR harus bersyukur kerana perjuangan 20 tahun menyemai benih reformasi berjaya menjadikan parti itu kerajaan di peringkat pusat.

“Kita harus bersyukur. Kita sabar dan tabah bersatu, bermuafakat baru kita berjaya. Sekarang sudah masuk Reformasi 2.0, yang tidak kenal reformasi pun cakap reformasi, yang baru masuk parti sebulan pun mengaku dia paling setia dengan Anwar, orang lain tak setia,” kata Azmin.

Mohamed Azmin Ali kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan beliau dengan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, ahli perlu menilai semua calon yang bertanding dan memilih mereka yang benar-benar diuji dan berkebolehan.

“Sepuluh tahun pertama kita di jalanan berdemontrasi, sekarang kita dah menang. Reformasi 2.0 bukan untk menjerit tapi melaksanakan harapan rakyat membina negara Malaysia yang baru.

“Kalau ikut emosi susah. Sekarang dah menang buat kerja. Dalam pemilihan parti, pilih pemimpin yang sudah diuji, bukan nak pilih pelawak, pelakon supaya pasukan di atas dapat menjaga parti dengan baik,” katanya lagi.

Azmin turut memberi amaran, sikap sesetengah individu yang cuba menyerang dan melaga-lagakannya dengan Anwar akan meruntuhkan PKR.

“Jangan benarkan individu tertentu runtuhkan apa yang kita bina selama 20 tahun ini.

“Jaga adab, etika dalam parti, bukan kempen serang peribadi dan rosakkan imej parti, orang seperti ini hukum mereka, tolak mereka dalam pemilihan parti,” kata Azmin.

Dalam kempen kali ini, kem Azmin bertembung dengan kem Rafizi Ramli yang turut bertanding jawatan timbalan presiden PKR yang dikenali sebagai pasukan “Reformasi 20 Tahun”.

Sejak awal kempen, pasukan Rafizi menyerang Azmin mendakwa menjadi boneka kepada Daim Zainuddin dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggagalkan usaha menjadikan Anwar perdana menteri. – 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen